“T dan Zila dah naik feri semula”, beritahu saya pada suami. Suami terus menggaru kepala sambil menyuruh saya menelefon T lagi. “K.noni minta T dan Zila lepaskan diri dari Makcik tu. Cuba T dan Zila duduk jauh skit dari Makcik tuh dan minta tolong orang yang ada kat situ.”, pinta saya bersungguh-sunguh. T menjawab dengan suara yang agak perlahan, “K.noni, T tak tahulah, T dah cakap kat Makcik tu, tapi Makcik tu cakap nak bawak jalan-jalan lagi. K.noni, janganlah telefon kerap sangat, sebab Makcik tu curi-curi dengar”. Saya cemas dan meminta untuk bercakap dengan Zila, “Zila, boleh tak Zila dan T jauhkan diri dari Makcik tu”. Zila juga kedengaran bingung seperti T, “K.noni, saya tak tahulah nak buat apa”. Saya buntu dan memberikan telefon kepada suami.
Pada fikiran saya yang sudah naik geram pada masa itu, memikirkan apalah bodoh sangat mereka berdua itu. Tapi, itu cuma fikiran saya sahaja yang geram. Namun, luarannya saya masih dapat menahan sabar kerana memikirkan saya perlu kepada misi asal iaitu memujuk mereka sebaik mungkin. Agak lama juga suami memujuk mereka berdua supaya lari dan kerap bertanya, “Sekarang, Zila nih kat mana?. Di sekeliling, Zila nampak apa?”. Saya kurang pasti kenapa suami sering bertanyakan soalan itu. Selang 2 minit suara suami kedengaran sedikit keras, “Saya yang duduk dekat stesen bas nih pun boleh nampak yang sebelah kanan nih ade bukit-bukau, takkan Zila tak boleh nampak apa-apa”. Suami bertanya lagi, “Sebelah feri ade nampak tak kapal?”. Suara suami kedengaran makin lama makin keras hinggakan Umar ditolakkan kepada saya kerana Umar sibuk hendak memeluk kaki abinya, mungkin suami terlalu geram dengan kelembapan T dan Zila, hingga tidak sedar tertolak anak sendiri.
Akhir sekali suami berkata, “Oklah Zila, saya tak dapat nak tolong Zila kalau Zila tak tolong diri sendiri. Sekarang, bila sampai di jeti sana, Zila dan T tolong lari dari Makcik tu dan cari polis atau pegawai jeti yang ada kat situ”. Lebih kurang 15 saat, suami menutupkan telefon dan berkata, “Saya geram betul, kalau ikut hati saya, nak je saya cakap, ’Mampus pi lah kat hang!’”. Saya yang mendengarnya tergelak kecil seolah menyokong ikut hati suami itu. Saya, suami dan Umar berjalan laju menuju ke kereta.
Di dalam kereta kami berbincang. Suami memberitahu dengan jujur, “Tadi masa bercakap dengan Zila, saya dengar ada orang duk gelak perlahan-lahan”. Tanpa berfikir saya terus menyampuk, “Yelah, abang kan lelaki, mestilah Zila tuh jadi galok bile duk kena pujuk-pujuk macam tadi”. Saya terus memasamkan muka. Suami yang sudah arif dengan perangai saya terus menjawab, “Bukan, ada macam something je, sebab saya tanya kat mana dan nampak apa, boleh Zila cakap tak nampak apa-apa. Bila saya cakap, saya pun boleh nampak bukit bukau terus suara Zila tersekat-sekat. Yelah, kalau dalam feri dan nak ke jeti penang, mestilah depan dia nampak bangunan banyak-banyak dan belakang dia nampak bukit-bukau”. Otak saya yang tadi dikaburi dengan rasa cemburu terus tersentak dan dapat berfikir semula seperti Inspektor Haliza di Gerak Khas. Kenapa perlu gelak perlahan-lahan. Namun, saya perlu menetapkan otak supaya berfikir positif sahaja kepada T dan Zila. Saya khuatir, jika saya berfikir negatif berserta dengan syak, saya akan menyesal seumur hidup jika perkara buruk memang berlaku pada mereka.
Saya mengingatkan kepada suami dengan amanah yang perlu dipegang. Suami memberi cadangan, “Awak dan Umar tunggu kat sini, biar saya naik feri dan cari diaorang kat sana. Kotnya diaorang dah jumpa polis atau pegawai jeti kat sana, bolehlah saya pi ambik je”. Kami berdua berfikir sejenak. Ini kerana , bukan mudah untuk mencari di jeti sebelah sana. Suami lantas menelefon bapa saudara dan memberitahu situasi anaknya.
Di Pekan, bapa saudara telah berkumpul bersama bapa saudara bongsu dan termasuk ayah saya. Telefon saya dan suami bukan sahaja sibuk dengan T dan bapa saudara, malah ada juga sekali dua sibuk dengan panggilan dari ayah dan mak saya. Semestinya, mak saya bertindak sebagai ‘penyampai radio era’ dan berlakunya ‘Hujah’ dikalangan mereka. Mak dan ayah saya akan berselang-seli menjadi host ‘Hujah’ bak Dr. Agus dan ahli panelnye terdiri dari adik beradik saya dan mak-mak, bapa-bapa saudara. Agak sayalah. Seketika kemudian, bapa saudara bongsu menelefon saya, “Noni, boleh tak noni tolong pergi buat aduan di balai polis. Maaflah sebab Noni dan Nasir jadi banyak kerja skit kena buat nanti. Tapi, perkara nih mesti diadu pada polis”. Saya memberitahu kepada suami dan suami sedikit merasa tidak setuju. Suami menelefon bapa saudara bongsu dan setelah mereka berdua berbincang, suami bersetuju.
Dengan pantasnya, suami terus menuju ke balai polis berdekatan. Dalam perjalanan, hati saya sibuk melayan perasaan bimbang dan gementar. Saya tidak pernah mengadu dengan polis, kalau mengadu dengan cikgu, memang selalu saya buat masa budak-budak dulu. Sesampai di pintu masuk utama balai polis pada pukul 7.10 malam, kereta suami ditahan dan polis yang menjaga pintu post, bertanyakan tujuan suami ke balai polis. Suami menceritakan serba ringkas kepada polis tersebut dan kami dibenarkan masuk.
Kaki saya lemah melangkah ke pintu balai polis. Dari luar semasa melangkah ke pintu, saya lihat, sekumpulan polis sedang menikmati makan malam di meja makan. Sedar-sedar saya di meja kaunter dan kelihatan suami sibuk bercerita kepada polis yang mengambil aduan. Sesekali saya menyampuk. Seketika kemudian, suami menyerahkan tugas bercerita kepada saya kerana didapatinya saya bercerita dengan amat detail, siap dialog-dialog lagi. Saya bercerita dengan lancar kepada 4 orang polis di depan saya dan mereka tekun mendengar cerita saya. Seolah-olah menonton pertandingan bercerita peringkat negeri bagi sekolah rendah. Suami juga ada menyampuk ibarat pengerusi majlis yang cemburu dengan masa yang diambil terlalu lama oleh pencerita. Sesambil itu saya rasakan suasana balai menjadi semakin sibuk dengan polis yang mundar-mandir.
Setelah bercerita hampir 10 minit, polis meminta saya menelefon T dengan menggunakan telefon balai. Tidak berangkat. Saya terus menelefon menggunakan telefon saya. “T kat mana skrang nih?. T dah sampai jeti ke?”. T menjawab dengan suara sedikit getar, “K.noni, T dah dalam kereta ni”. Serta-merta kepala saya terus berpinar namun masih gagah meneruskan perbualan, “Ya Allah, kenapa T ikut Makcik tu naik kereta. Siapa yang pandu kereta. T tolonglah lari!”. T menjawab dengan suara kebingungan, “Orang lelaki yang pandu kereta nih. Saya peninglah k.noni”. Saya minta bercakap dengan Zila, “Zila, boleh tak Zila lawan Makcik tu dan keluar dari kereta. Tendang dan jerit minta tolong”. Zila menjawab dengan suara sedikit perlahan, “Tak boleh k.noni, Makcik tu gemuk dan dia pegang tangan saya dan T kuat sangat”. Saya yang sangat cemas berkata, “Zila, bukalah tingkap kereta tuh dan jerit minta tolong”. Zila diam. Saya berikan telefon kepada polis. Polis memberi arahan supaya mengenalpasti jenis kereta dan no. plat, juga menyuruh mereka berdua menyelamatkan diri.
Dalam keadaan cemas itu, saya masih sempat berfikir dengan amat geram, memikirkan yang budak berdua itu memang betul-betul bodoh tahap baldi. Saya perlu bersabar. Telefon telah dimatikan. Polis cuba menelefon lagi menggunakan telefon balai, tidak berangkat. Polis mendail kali kedua, dan meminta saya bercakap, Zila bersuara, “K.noni, Makcik nih nak tutup mulut saya dan T”. Telefon terus dimatikan. Saya amat cemas dan terasa ingin pitam.
Bersambung...
2 comments:
alahai..bersambung lg...ptong stim betu laaa...cpat2 la update kak noni oiii...
hehehe...kira cepat dah nih...tunggu yee....
Post a Comment