Badan letih tapi otak ligat berlegar. Sibuk berlegar di setiap sudut kotak fikiran. Memikirkan tentang semalam yang penuh sejarah. Pengalaman baru yang mengharu-birukan hidup dek kerana keHILANGan.
Balai polis pun saya tak pernah jejak apatah lagi duduk di kerusi yang berdepan dengan ramai polis. Dulu-dulu, berek polis memang selalu saya jejak sebab berkawan baik dengan Nik si anak polis. Saya juga berkawan baik dengan anak polis yang tidak tinggal di berek polis, Roselawati atau nama sawan tangisnya Rahimah. Dulu-dulu, kalau budak baru lahir yang sawan tangis perlu diberi nama lain untuk hilang sawannya. Orang sekarang, anak sawan tangis, bagi susu formula, bolehlah nak buat diam setengah hari. Agaknya, anak lapar sebab susu ibunya cair sangat dan kalau diselang-seli dengan susu formula anak boleh tahan kenyang, anggapan sayalah.
Langkahan pertama saya di pintu masuk balai polis, saya teragak-agak. Tetapi melihatkan suami dengan penuh yakin bergerak masuk macam Sarjan Misai beraksi memberi maklumat Mat Rempit kepada Inspektor Haliza dalam drama Gerak Khas. Saya mengikut jejak suami dan saya lihat, satu set sofa mengadap tv diletakkan di sebelah kiri pintu masuk. Di tv, kelihatan pasangan Sazzy sedang menarikan tarian tradisional kontemporari. Beberapa langkah ke depan terletaknya kaunter dengan dibarisi 3 buah kerusi untuk pengadu membuat laporan. Sambil melangkah, saya ligat berfikir samada hendak duduk di sofa bak mak datin datang bertandang sambil menonton Sehati Berdansa atau menuju terus ke kerusi di kaunter. Tetapi, dengan warasnya, saya mengikut suami ke kerusi di kaunter.
Awalnya, ketika kami masuk, kelihatan sekumpulan polis wanita sedang menikmati makan malam di meja makan yang terletak di hujung sudut bersebelahan dengan meja kaunter. Suami secara spontan terus bertanya, "Tengah berbuka puasa ke ni?", yang mana ketika itu azan Maghrib sedang berkumandang di masjid berdekatan. Saya yang mendengarnya tergamam. Yelah, kalau dihadapan kami itu cuma sekumpulan budak yang menjamu selera selepas penat bermain polis sentri, tak kisahlah nak buat pertunjukan lawak sarkas pun. Namun begitu, dengan segeranya sekumpulan polis wanita tersebut terus menuju ke meja kaunter ibarat suami saya itu PA kepada Ketua Polis Negara yang akan memaklumkan bahawa lawatan akan dibuat dalam masa 5 minit lagi di balai mereka. Mujurlah mereka semua tersenyum dan bertanyakan bantuan yang diperlukan.
Saya dan suami menceritakan satu-persatu.
Bersambung....





0 comments:
Post a Comment