Saya sedikit keliru, "Kedai kain?, kat mane ye, apa bangunan yang boleh k.noni nampak". T menjawab tanpa berfikir, "Ade kedai top-up sebelah nih". Saya bertambah keliru, sebabnya deretan kedai di depan stesen bas tak adalah pula kedai kain. Saya melilau mencari mereka, kehulu-kehilir di terik tengahari. Abi pula sibuk melayan Umar yang hendak membeli keropok dan dan karipap. Saya telefon T dan menyuruh dia duduk di kerusi yang disediakan di stesen bas supaya saya mudah mencarinya. Namun hampa setelah dicari setiap ceruk stesen bas itu. Puas saya cari, cuma saya tidak mencari di bawah setiap kerusi ataupun membuat spot check setiap beg yang dibawa oleh orang ramai di stesen bas tersebut .
"Cuba T tanya orang, sebenarnya, T berada dimana sekarang ni". T menjawab dengan sedikit berfikir, "K.noni, orang nih cakap, T skrang di Nibong Tebal". Alahai, macamanalah bas boleh berhenti di Nibong Tebal. Bas dari Kuantan ke Penang akan berhenti di stesen bas jeti. Saya dan suami sedikit curiga, kerana awalnya dia memberitahu yang dia duduk di stesen bas berdekatan dengan jeti. Nibong Tebal ade jeti ke?. Tapi, saya dan suami sengaja membodohkan diri dan tidak banyak soal kepada T kerana ingin menjaga dan memujuk hatinya. Itu pun sebab dipesan oleh bapa saudara agar memujuknya pulang ke rumahnya di Pekan.
"Laaa, T kat Nibong Tebal ke. Jauh tuh. Takpelah, T datang sini nak jalan-jalan kan. K.noni bagi T dan Zila jalan-jalan dulu tapi jangan jauh-jauh. Jalan dekat-dekat je tau. Sebabnya k.noni ada janji dengan mak mertua nak pegi tengok biras k.noni baru lepas bersalin". T menjawab dengan nada gembira, "Ok k.noni, T tunggu kat sini je". Saya sekali lagi berpesan, "T dan Zila jangan pegi jauh-jauh ye, tunggu k.noni sampai nanti ye".
Saya terpaksa membiarkan mereka dahulu, kerana perlu memenuhi janji kepada mak mertua. Saya perlu membawa mak mertua dan adik ipar ke Gurun untuk berjumpa dengan biras yang baru bersalin anak kedua. Umar dan abi hanya menunggu di rumah kerana tulang belakang abi sudah terasa sakit dan perlu rehat. Sudah beberapa bulan abi menerima rawatan di Ortopedik dan Fisioterapi berkenaan dengan tulang belakang.
Pada pukul 4.00 petang, ketika itu saya dalam perjalanan pulang dan sudah hampir ke bandar Penaga, T menelefon saya, "K.noni, T skrang dalam feri. Ada makcik nih bawak T dan Zila jalan-jalan dulu. Makcik nih cakap tak elok duk tempat tadi. Ade banyak Mat Hitam. Bahaya. Ti dan Zila ikut makcik nih jalan-jalan. Lepas tuh, makcik ni nak suruh kitaorang tidur rumah dia semalaman". Saya sedikit risau, "T, tolong bagi k.noni cakap dengan makcik tuh".
“Hello, ini makcik ke?”. Makcik yang tidak dikenali itu menjawab,”Ya, saya makcik yang jumpa diaorang dan skrang tengah bawa diaorang bersiar-siar”. Saya sedikit curiga kerana suara makcik itu kedengaran agak muda dan tidak bercakap slang utara, “oooo...kejap lagi saya nak pegi ambik diaorang, saya rasa tak payahlah diaorang nak tidur dirumah makcik”. “Makcik nak minta diaorang tidur semalaman saje. Sampai jeti nanti, anak makcik dah tunggu nak bawak bersiar-siar sedikit lagi di sekitar jeti dan balik rumah. Pagi esok ambiklah diaorang ketika anak makcik hendak pergi kerja”, Makcik itu kedengaran sedikit degil. “Makcik tinggal dimana?”, kerana pada fikiran saya, jika makcik itu membawa T dan Zila pulang kerumahnya, bolehlah saya ambik dirumahnya saje. “Makcik tinggal di Taman Pauh Indah di Seberang Prai”.
Saya tidak memberikan sebarang keputusan, “Ok makcik, kejap lagi saya telefon lain. Terima kasih banyak-banyak sebab tolong T dan Zila dari duduk di tempat yang ramai Mat Hitam tuh”. Dengan ramahnya makcik itu menjawab, “Ok, jangan risau, bagilah mereka tidur di rumah makcik semalaman dan makcik akan jaga diaorang macam anak makcik sendiri”. Saya sedikit lega bercampur curiga.
Saya perlu hantar mak mertua dan adik ipar ke rumah dengan segera kerana walaupun saya rasa sedikit lega tetapi saya perlu juga mengambil T dan Zila. Saya tidak berani untuk melepaskan mereka tidur dirumah orang yang baru dikenali. Sesampai dirumah mak mertua, saya sempat makan nasi berkuahkan kari dan berulamkan jering muda yang diambil di rumah biras. Rumahnya banyak pokok ulam-ulaman dan tanaman lain. Mak biras pula seorang yang berani, pergi ke sungai seorang diri menangkap ikan haruan untuk hidangan pantang anaknya. Saya perlu makan nasi, sebab sangat lapar, paginya saya hanya sempat minum air teh dan sedikit cekodok, manakala di rumah biras saya cuma makan sedikit kudapan dan air teh. Takut nanti, sibuk-sibuk mencari mereka, pengsan pula saya nanti. Saya makan cepat-cepat tapi sempat lagi tambah dua kali.
Sesudah makan dan solat Asar, suami terus mengajak mengambil mereka berdua di jeti. Agak-agak hendak sampai di jeti, saya menelefon T, “T, kat mane nih. Dah sampai jeti ke?”. T menjawab dengan sedikit keliru, “Saya tak tahulah k.noni nak sampai ke tak lagi”. Saya meminta T memberikan telefonnya kepada makcik yang tidak dikenali itu, “Makcik dah nak sampai jeti ke?”. Dengan spontan makcik menjawab, “Ya, dah nak sampai”. “Boleh tak makcik tunggu saya sekejap je, saya dah nak sampai jeti nih. Tunggu saya 10 minit je”, pinta saya. Makcik tersebut berdegil, “Makcik tak boleh tunggu dah. Anak makcik dah nak sampai, nak bawak diaorang pergi bersiar-siar dan balik rumah. Tadi kan makcik dah cakap nak minta diaorang tidur rumah makcik dan esok sajelah anak ambik diaorang”. Saya terus diselubungi rasa curiga, “Takpe makcik, boleh tak makcik tolonglah tunggu saya 10 minit je lagi. Saya dan suami dah nak sampai dah nih”. Suami makin geram dan bertindak membawa kereta ala-ala Alex Yong yang tak pernah jadi juara F1.
Kami sampai di jeti kurang dari 10 minit, suami menurunkan saya betul-betul di depan stesen bas dan suami pergi kerana perlu mencari parking terlebih dahulu. Saya sepantas kilat menelefon T, “T dah turun dari feri ke?”. Dengan ralatnya T menjawab, “K.noni, sebenarnya T naik feri semula. Makcik nih ajak T dan Zila pegi naik feri semula, nak bersiar-siar lagi”. Saya yang telah diamanahkan oleh bapa saudara untuk mencari anaknya terus menjadi tidak keruan. Seluruh badan saya ketar ibarat handset bervibrate tak henti-henti kerana banyak panggilan tak berjawab dari along dan ceti.
Saya masih berlembut dan masih mahu menjaga hati T, “T, boleh tak bagi k.noni cakap dengan makcik tu”. “Hello, nih makcik ke?”. Makcik itu menjawab dengan tanpa rasa bersalah, “Ya, makcik nih”. Saya masih bersabar, “Makcik, tadi makcik cakap dah nak sampai jeti. Kenapa makcik naik feri semula”. Makcik itu menjawab dengan penuh yakin, “Tadi kan makcik dah cakap nak bawak diaorang bersiar-siar lagi dan lepas tuh bawak balik tidur rumah makcik. Anak kan dah bagi diaorang tidur rumah makcik. Esok jelah anak ambik diaorang”. Tanpa disedari saya tinggikan suara di khalayak ramai di stesen bas itu, “Makcik!, Tadi makcik cakap anak makcik dah sampai jeti dan nak ambik makcik. Lepas tuh makcik cakap cuma nak bersiar-siar di sekitar jeti je. Yang makcik pergi bawak diaorang naik feri semula ape pasal!”. Makcik tersebut tidak bersuara. Banyak mata tertumpu kepada saya. Sesambil bercakap di telefon, saya berlari ke jeti feri yang jaraknya agak jauh dari stesen bas, “Yang makcik tak bagi saya nak ambik adik sepupu saya tuh ape pasal! Makcik nih mesti ada rancangan jahat nih!”. Serta merta, telefon dimatikan oleh makcik itu.
Saya menelefon T sekali lagi, “T, tolonglah keluar dari feri tuh. Boleh tak T tolong lari”. T menjawab dengan rasa bersalah, “T peninglah k.noni, T tak tahu”. Saya kembali memujuk, “Ok takpe, T tolong bagi telefon pada Zila”. Zila menjawab dengan kedengaran sedikit sombong, “Ye?”. Saya menjawab dengan penuh semangat, “Zila, boleh tak zila tolong bawak T keluar dari feri tuh”. Zila menjawab dengan suara sedikit hambar, “Tak boleh, feri dah bergerak”. Saya terus menutup telefon dan mematikan langkah ke jeti feri. Yelah, katanya feri dah bergerak, takkan saya nak berenang menuju ke feri yang dah bergerak. Saya bukan pandai berenang. Setakat tutup hidung menahan nafas dalam kolah mandi selama 10 saat bolehlah. Saya berlari keluar dari jalan menuju ke jeti dan stesen bas. Kelihatan suami dan Umar berpimpinan tangan bergegas menuju ke arah saya.
Bersambung...





0 comments:
Post a Comment