4 orang polis wanita yang tadinya telah tekun menonton adegan cemas saya di telefon, tanpa berlengah terus menulis laporan di komputer yang tengah. Terdapat 3 buah komputer di meja kaunter itu. Tiba-tiba telefon balai berdering. Sarjan penyiasat ingin bercakap dengan saya. Saya perlu menceritakan sekali lagi kepada Sarjan penyiasat itu dan saya rasakan mulut saya berbuih-buih dek duk bercerita cerita yang sama dari tadi.
Selang beberapa minit, Sarjan penyiasat itu turun dan berjumpa dengan saya dan suami. Sarjan itu sedikit berumur dan rendah orangnya. Kelihatanya, dia adalah seorang yang sangat berpengalaman dalam dunia polis-memolis ini. Sarjan penyiasat memberitahu polis bawahannya supaya menulis laporan dengan cepat. Sesambil itu saya berfikir, kerja polis memang sukar kerana perlu mendengar cerita berulang kali dan membuat analisis dari apa yang kita cerita. Dari semudah-mudah analisis kepada sesusah-susah analisis. Polis yang berpengalaman seperti Sarjan itu dengan mudahnya membuat analisis secara rambang kepada saya dan suami. Sarjan tersebut syak yang T berada dibawah pengaruh kawan iaitu Zila. Namun, Sarjan tersebut faham, tindakan perlu diambil kerana dikhuatiri mereka benar-benar diculik. Sarjan meminta keterangan diri bagi Zila dan T, baju mereka pakai dan gambar. Saya meminta bapa saudara memberikan apa yang dikehendaki kerana dari tadi saya hanya bercakap dengan T di telefon sahaja. Tidaklah pula saya tahu dia pakai baju dan seluar warna apa. Maklumat tentang No.IC, pakaian yang dipakai, ketinggian dan warna kulit T dan Zila telah disms oleh kakak T kepada saya. Gambar mereka juga telah dismskan juga kepada saya.
Sarjan memerlukan gambar mereka dicetak dan diberikan kepadanya. Disuruhnya suami saya mencari kedai gambar yang berdekatan untuk mencetak gambar tersebut. Kebetulan, disebelah kami, dua orang lelaki cina sedang membuat aduan berkenaan dengan kehilangan motorsikalnya yang baru dibeli 2 bulan. Dua lelaki cina itu adalah peniaga kedai gambar. Dibawanya suami saya ke kedainya. Saya dan Umar ditinggalkan di balai polis bagi menunggu tindakan polis yang seterusnya. Saya fikir, tentu susah untuk mencari T dan Zila. Saya fikir lagi, mungkin malam ini, mereka akan menjadi habuan lelaki-lelaki bertopeng syaitan. Saya masih berfikir, tentunya sesudah menjadi habuan lelaki-lelaki jahat, mereka akan diasuh menjadi pelacur. Saya makin meleret-leret berfikir, mungkin mereka akan bekerja di lorong-lorong belakang bangunan, menghisap rokok sambil menunggu pelanggan. Ya Allah, takutnya saya dengan fikiran-fikiran saya ketika itu.
Tetapi, yang peliknya, ketika perkara itu berlangsung, saya langsung tidak menangis. Saya hanya terpinga-pinga dan termenung. Selalu-lalunya, saya ini amat mudah menangis. Ketika saya di UTM dulu, saya telah melihat satu gambar di majalah. Majalah tersebut telah dibeli oleh rakan serumah saya, Zura. Selepas melihat gambar tersebut, saya menangis. Dan bila teringatkan gambar tersebut, saya menangis lagi. Selama seminggu, tiap-tiap malam sebelum tidur, saya mesti menangis perlahan-lahan kerana teringatkan gambar tersebut. Gambar yang membuatkan saya sedih ketika itu, ialah gambar sepasang adik beradik. Saya agak, si kakak berumur dalam lingkungan 6 tahun dan adiknya berumur 3. Mereka sedang bekerja mengangkat batu-bata di kawasan pembinaan. Diumur yang terlalu muda, mereka telah bekerja dan tangan mereka disaluti debu bata. Saya fikir, mereka adalah anak yang terbiar di India dan terpaksa mencari wang untuk hidup. Sungguh sedih dan kasihan. Ketika melihat gambar tersebut, saya asyik teringatkan adik lelaki saya, Qayyum dan adik perempuan saya, Kakak. Ini kerana, ketika saya di UTM itu, mereka dalam lingkungan umur sebegitu.
Namun begitu, kisah T dan Zila ini, langsung tidak membuatkan saya terasa hendak menangis. Saya terasa hendak menenyeh kepala mereka berdua adalah. Setelah ditenyeh kepala, saya akan menyekupkan kepala mereka dengan baldi. Namun, itu hanya angan-angan saya sahaja. Saya juga suka berangan yang saya ini kuat, pandai silat, taekwando dan kungfu. Berangan menjadi kaya-raya memang selalulah juga saya buat.
Ketika menunggu suami mendapatkan gambar T dan Zila. Sarjan itu telah diberitahu yang ayah saudara saya di Pahang juga telah membuat laporan polis tentang kehilangan anaknya. Maka dengan segera, Sarjan penyiasat telah mengarahkan saya mengikutnya ke biliknya, bagi memberikan keterangan dengan lebih terperinci. Saya dan Umar telah dibawa ke bangunan di belakang balai dan naik ke tingkat 2. Bangunan itu agak uzur. Di tingkat 2, terdapat banyak pintu bagi bilik-bilik penyiasat polis atau Inspektor. Di luar dinding bilik, saya lihat banyak gambar penjenayah ditampal. Saya fikir, kalau saya terserempak dengan penjenayah tersebut, atau siap bersembang dua tiga jam pun, mesti saya tidak kenal. Ini kerana, gambar yang ditampal itu, sangat senget-benget hidungnya, telinganya dan matanya. Cuma tidaklah seteruk lukisan Picasso. Bilik Sarjan itu terletak dihujung lorong. Sarjan itu sempat memberitahu yang biliknya tiada aircon dan kecil. Wah, adakah saya kelihatan seperti orang kaya yang membuatkan Sarjan tersebut mengeluarkan kenyataan tersebut. Atau mungkin, saya, suami dan termasuk Umar kelihatan educated?. Namun, itu cuma perasaan saya yang perasan. Sebenarnya, awal-awal masuk, Umar dengan selambanya berkata, “Umi....panas....Umar nak kipas, bilik tok ann nih buruk (Tok ann tu Tok Wan, Umar susah nak sebut Tok Wan)”. Serta-merta saya menekupkan mulut Umar seperti penjenayah hendak menculik budak. Sarjan itu Cuma senyum dan berkata, “Alaaa....biarlah, budak-budak memang macam tu..”. Sedikit lega saya rasa.
Tetapi Umar kelihatan amat tidak selesa ketika saya disoalsiasat oleh Sarjan tersebut. Umar membuat banyak ragam, “Umi.....Umar letihhhh nih, Umar nak tido....Umar dahaga nih, Umar nak air...Mana abi?, Umar nak p kat abi..”. Namun saya dan Sarjan tetap meneruskan sesi soal selidik. Akhir sekali, saya pula bersoal jawab dengan Sarjan tersebut, “Tuan Sarjan, susah ke nak cari mereka berdua nih?. Agak-agak boleh jumpa ke?”. Sarjan itu senyum lagi dan berkata, “Dalam 2 ke 3 minggu, mereka akan balik...”. Saya agak terkejut dengan jawapan Sarjan itu. Sarjan menyambung lagi, “ Ini kerana, ada 2 keadaan bila melibatkan kes makcik-makcik nih. Pertama, makcik-makcik nih terdiri dari driver van kilang yang kerja sampingannya mencari budak-budak untuk bekerja di kilang. Satu kepala dalam RM60 keatas. Bila mereka dah dapat mangsa, mereka tak akan lepaskan sebab mangsa sendiri yang bercerita hendak mencari kerja. Maka mereka seboleh-boleh akan pegang mereka untuk didaftarkan di kilang yang memerlukan pekerja setia. Kedua, makcik-makcik yang memang kerjanya mencari budak untuk bekerja di kilang. Mereka sanggup masuk ke kampung-kampung untuk mencari orang muda untuk bekerja di kilang. Kilang sukakan pekerja luar dan bukan pekerja yang asalnya dari Pulau Pinang. Ini kerana, pekerja yang berasal luar dari Pulau Pinang amat setia dan bekerja lama di kilang mereka, tetapi pekerja yang asal dari Pulau Pinang, suka bertukar kerja dan tidak setia”. Sarjan tersebut menambah lagi, “Tetapi, ini kali pertama kes yang melibatkan orang Pahang. Selalunya kes budak hilang yang asal dari hulu-hulu Kedah”. Apabila Sarjan tersebut memberikan keterangan sebegitu, saya merasa amat mudah untuk bernafas.
Akhir sekali, Sarjan itu berkata, “Kalau saya kata, ayah T itu seorang yang tidak bertanggungjawab..Puan marah tak?..kerana membiarkan anaknya”. Saya menjawab dengan penuh hemah, “Tuan Sarjan, saya tak marah, tapi, ayah saudara saya itu sangat baik orangnya. Dia ustaz. Bercakap dengan anak-anak pun dengan suara yang lembut. Mungkin terlalu manjakan anak kot”. Sarjan menganggukkan kepala tanda setuju. Seketika kemudian, suami sampai ke bilik Sarjan dan memberikan gambar T dan Zila. Lebih kurang 5 minit, kami dibenarkan pulang oleh Sarjan dan menasihatkan saya dan suami agar tidak terlalu risau. Saya dan suami agak yakin dengan Sarjan tersebut, kerana pada hemat kami Sarjan itu kelihatannya sangat berpengalaman.
Kami bertiga dengan gembiranya menuju ke kereta. Lega kerana tugas kami telah selesai dan gembira dengan keterangan Sarjan itu. Ketika saya hendak masuk ke dalam kereta. T telah menelefon saya, “Kak Noni, saya dan Zila kat Pudu sekarang nih”. Saya terkejut, “Haaaa...kat Pudu?..Betul ke...ke kat Juru?..”. T menegaskan yang mereka sekarang di Pudu. Saya tidak percaya dan meminta untuk bercakap dengan Zila, “Zila, betul ke Zila skrang kat Pudu?”. Zila menjawab dengan sedikit suara termengah-mengah, “Ha’ah kak noni, kami kat Pudu. Skrang kami tengah larikan diri dari makcik tu”. Saya yang tadinya amat sangsi terus percaya apabila mendengarkan perkataan makcik, “Zila, cepat lari...bawak T lari sama....lari jauh-jauh dan minta tolong dengan orang sekeliling di Pudu tuh”. Saya cemas. Zila menjawab dengan suara sedikit gementar “Tak tahu nak minta tolong siapa kak noni, kat sini sunyi, tak ramai orang”. Saya risau, “Takpe, zila lari...dan tolong cari orang yang zila rasa orang tuh boleh dipercayai”. Zila memberitahu saya yang tiada orang. Saya hairan, macamana boleh tak ada orang. Pudu tuh tempatnya sentiasa ramai orang, lagipun baru pukul 9.30 malam.
Saya sedikit bersuara keras kepada Zila, “Takkan takde orang, cubalah cari”. Zila terkedu dan berkata, “Haa...nih T sedang cakap dengan orang lelaki nih”. Saya arahkan Zila memberikan telefon kepada T, “T, tolong bagi handset tuh pada orang lelaki tuh”. T bersuara kehairanan, “Nak bagi handset, kenape?”. Saya sedikit memujuk, “Takpe, T bagi je handset tuh kat lelaki tuh”. Saya terpaksa percayakan orang yang tidak dikenali buat kali ini dari percayakan mereka berdua itu. T memberikan handsetnye kepada lelaki yang tidak dikenali itu, “Encik, betul ke tempat yang encik duduk tuh Pudu?”. Lelaki tersebut menjawab, “Ya, ini memang Pudu”. Saya memberi arahan dengan lancar kepada lelaki itu, “Encik, boleh tak encik tolong saya, tolong bawak 2 orang budak perempuan tuh ke pondok polis di Pudu tu. Ini kerana mereka telah dibuat laporan polis tentang kehilangan mereka ”. Suara lelaki itu kedengaran sedikit cemas, “Mereka berdua nih tahu ke?”. Saya menjawab dengan penuh yakin,”Saya rasa mereka tak tahu, tapi sekarang, boleh tak encik tolong bawakan mereka ke pondok polisi berdekatan. Terima kasih banyak-banyak encik”. Telefon dimatikan.
Suami tidak berpuas hati kerana merasakan mereka berdua sedang berlakon-lakon dengan jayanya. Suami syak yang Zila merupakan dalang kepada cerita ini. Ini kerana, umur Zila sudah 24 tahun. Awalnya, kami fikir yang T dan Zila adalah sebaya. Tetapi, setelah suami melihatkan no. IC Zila, dia terkejut dan membuat pelbagai andaian. Kami sudah tidak percayakan T dan Zila. Untuk memastikan tiada lakonan lagi dari mereka berdua, suami menelefon T semula, “T, sekarang T kat mane?”. T menjawab, “Saya kat pondok polis”. Suami pula memberi arahannya, “T tolong bagi handset pada polis kat T tuh”. Suami bersuara lagi, “Tuan, betul ke ini pondok polis Pudu?”. Setelah yakin dengan jawapan polis di Pudu itu dan yakin keadaan telah selamat. Suami perlu masuk ke balai polis semula dan memberitahukan perkara tersebut kepada Sarjan dan polis terlibat.
Tiba-tiba Umar bersuara, “Umi....abi nak p mana pulak tuh. Tadi umi dah sembang lama dah ngan Tok ann tuh...nih abi pulak nak sembang lama-lama. Umar nih dah letih..”. Saya memujuk Umar sambil mengurut dadanya, “Sabar ye sayang, kejap je abi pegi jumpe polis tuh. Umar lapar ye. Sabar ye”. Umar menghentak kakinya, “Umar bukan lapar...Umar dahaga..Umar nak air”. Kesian Umar. Sepanjang kami sibuk menguruskan kes T dan Zila, Umar diabaikan. Lebih kurang 15 minit, suami masuk kedalam kereta dan Umar terus mengadu kepada abinya, “Abi...Umar nak air...Umar dahaga nih...Abi asyik sembang je..”. Abi pujuk Umar dan terus membawa kereta ke stesen minyak. Di stesen minyak, abi beli roti dan air.
Setelah Umar sedikit tenang, saya dan suami mula berbincang dengan perkara yang telah terjadi pada hari itu. Suami memberitahu yang T dan Zila telah selamat berada di balai polis dan sedang menunggu ayah saudara saya mengambil mereka berdua. Saya dan suami sangat sangsi,bagaimana dengan cepatnya mereka boleh berada di Pudu?. Katanya dibawa masuk ke kereta di jeti pulau, tiba-tiba boleh muncul di Pudu dalam tempoh tidak sampai 4 jam. Suami bersuara dengan sedikit tegas, "Kalau sayalah ayah T, jumpa je diaorang kat balai polis tu nanti, siap lah kena pelempang kiri kanan". Saya hanya diam sahaja. Walaupun saya dan suami ditinggalkan dalam keadaan curiga, tetapi kami bersyukur kerana T dan Zila telah selamat. Semestinya, sesampai di rumah mak mertua, saya dan suami sekali lagi berbuih mulut bercerita perkara yang sama kepada mak mertua dan adik ipar. Selang 30 minit, mak saya juga menelefon saya, ini kerana mak saya sebagai wartawan yang berhemah, dia perlu membuat kesimpulan kepada cerita yang penuh misteri ini. Mak saya membuat kesimpulan yang tergantung juga, “Aku pelik sungguh dengan budok berdua tuh, macamane yang boleh tiba-tiba duk terkuyung-kayang di Pudu tuh pulak. Ada ilmu terbang ke?”. Saya hanya ketawa sahaja dan berkata, "Hilang di Penang, muncul di Pudu".
Sekian, tamat.
kuang...kuang...kuang...kuang....





0 comments:
Post a Comment